BERITA SEMASA

SPRM tekan keberanian moral, integriti dalam latihan kepimpinan baharu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memperkukuh budaya kepimpinan berintegriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa menerusi Kursus Peralihan Penguasa SPRM yang memberi penekanan kepada nilai keberanian moral serta kepimpinan beretika.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi berkata, setiap pemimpin dalam organisasi penguatkuasaan perlu memiliki kekuatan prinsip dan keberanian moral untuk memastikan kredibiliti serta imej SPRM sentiasa terpelihara.

“Setiap pegawai SPRM membawa imej organisasi di mata rakyat, bukan sahaja melalui keputusan dan tindakan tetapi juga dalam tutur kata, penampilan serta etika kerja seharian.

“Kepimpinan di SPRM menuntut keberanian moral iaitu berani menegakkan kebenaran tanpa mencari populariti, menolak arahan yang bercanggah dengan undang-undang dan mempertahankan integriti pasukan walaupun berdepan risiko,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Peralihan Penguasa SPRM P9 Siri 8 Bilangan 1/2025 yang melibatkan 23 pegawai SPRM, bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini.

Turut hadir, Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohd Hafaz Nazar; Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) SPRM, Syed Mohd Termizi Syed Musa serta Timbalan Pengarah Akademi dan Latihan Asas MACA, Mohd Saud Ayutollah Abdul Manan.

Pada majlis berkenaan, Junipah turut menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik Kursus kepada Pemangku Penguasa SPRM, Mohd Zahari Zainon serta Anugerah Waja yang julung kali diperkenalkan kepada Pemangku Penguasa SPRM, Muhamad Mustari Mustapah.

Untuk rekod, semua peserta telah menjalani kursus berkenaan yang pertama kali dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Kepimpinan SPRM (MLEC) di Kem Amazing Camp Legacy (ACL), Lenggong, Perak dari 13 hingga 24 Oktober 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button