BERITA SEMASAHIBURAN

Hantaran Syed Saddiq buat Bella disifatkan sangat istimewa, di luar kotak

KUALA LUMPUR – “Hantaran di luar kotak.”

Demikian antara komen warga maya ketika menyaksikan penzahiran rasa cinta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui dulang hantaran buat pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang disifatkan sangat istimewa dan di luar kotak.

Pada majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka 118, di sini hari ini, Syed Saddiq menghadiahkan isteri tercinta dengan tujuh dulang hantaran yang setiap satunya membawa maksud tertentu.

Antaranya hantaran emas berbentuk Gunung Kinabalu bersama sebentuk cincin, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000, pakej pengajian pasca siswazah Sarjana Komunikasi di Taylors Universiti dan sebuah gimnasium lengkap dengan peralatan di kediaman mereka kelak.

saddiq
Hantaran Syed Saddiq kepada Bella sebagai lambang cinta buat isterinya.

Malah, Syed Saddiq turut menghadiahkan sebuah basikal, pakej insurans, kerusi urut dan pakej umrah untuk Bella.

Sementara, Bella pula membalas sembilan dulang yang berisi sebentuk cincin, sepasang kasut, al-Quran dan sejadah, minyak wangi, e-book, coklat, beg laptop, tiket penyertaan Ultra Man serta logo Ultra Man Malaysia bersalut emas 999.

Terdahulu, pasangan yang diberikan julukan BASS itu selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi.

Pasangan ini dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam satu majlis penuh gemilang yang bertemakan Arab dengan rona putih.

Pasangan ini dinikahkan oleh Dr Zulkifli Al Bakri.

Tinjauan di ruang komen juga, rata-rata melahirkan rasa gembira dengan penyatuan dua jiwa itu.

“Tahniah YB dan Bella. Moga bahagia hingga Jannah,” komen Wan Azian Wan Mustapha.

“Alhamdulillah anakanda berdua, moga sejahtera hingga ke syurga,” tulis Che Semah Bonda.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ahli keluarga serta teman rapat pasangan itu.

Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuklah isteri Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta bekas PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Syed Saddiq dan Bella sebelum ini mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada September 2016 sebelum bercerai buat kali kedua pada Mac 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button