BERITA SEMASA

Bella, Syed Saddiq batal sidang media perkahwinan susulan pemergian Tun Dr Siti Hasmah

KUALA LUMPUR – Pelakon Bella Astillah dan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membatalkan sidang media mengenai majlis perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung petang ini susulan pemergian negarawan, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Bella, 32, berkata, keputusan itu dibuat selepas Syed Saddiq terkesan dengan berita pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.20 pagi tadi.

sidang media
Gambar kad jemputan Sidang Media Perkahwinan Syed Saddiq dan Bella Astillah yang sepatutnya berlangsung petang ini.

Menurutnya, Syed Saddiq yang ketika itu sedang menjalani sesi penggambaran bersamanya tidak mampu meneruskan perancangan yang telah diatur selepas menerima berita duka berkenaan.

“Kita sedang menjalani penggambaran, tetapi saya tahu hati dan fikirannya melayang ke tempat lain selepas mendengar berita duka mengenai pemergian Tun Hasmah pagi ini.

“Dia benar-benar tidak mampu untuk meneruskan apa yang telah dirancang selepas ini. Dia minta agar sidang media pada sebelah petang dibatalkan.

“Allahuakbar, kami berdua masih berada dalam keadaan terkejut,” katanya menerusi Insta Story.

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah, 100, diumumkan menerusi laman rasmi media sosial Tun Dr Mahathir hari ini.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 merupakan antara wanita Melayu pertama yang mendapat pendidikan perubatan dan kemudian mencatat sejarah sebagai antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini.

Allahyarhamah turut dikenang kerana peranannya dalam bidang kesihatan awam, khususnya berkaitan kesihatan ibu dan anak, selain aktif memperjuangkan isu wanita dan kebajikan masyarakat.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956 dan menjadi pendamping beliau sepanjang perjalanan politik serta kehidupan selama hampir tujuh dekad.

Tun Dr Siti Hasmah turut pernah memainkan peranan sebagai isteri Perdana Menteri ketika Tun Dr Mahathir memegang jawatan itu bagi dua tempoh pemerintahan, selain dikenali dengan keperibadian sederhana, lemah lembut dan komitmen terhadap kerja kemasyarakatan.

Pemergian Allahyarhamah hari ini mengundang ucapan takziah daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mengenang jasa serta sumbangannya kepada negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button