RUU Pekerja Gig 2025 perlu dibentang segera – Ahli Parlimen
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 perlu dibentangkan segera di Parlimen bagi mengiktiraf serta melindungi nasib lebih 1.2 juta rakyat yang bergantung kepada sektor itu sebagai sumber rezeki utama.
Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menegaskan usaha berkenaan tidak boleh lagi ditangguhkan.
Kedua-dua berkata, pembentangan RUU tersebut akan menjadi langkah bersejarah dalam membentuk pasaran kerja moden, teratur dan berdaya saing, khususnya melibatkan sektor gig yang berkembang pesat di Malaysia.
“Perlindungan undang-undang amat penting bagi memastikan pekerja gig mendapat jaminan pendapatan, perlindungan sosial serta mekanisme penyelesaian pertikaian,” kata mereka dalam kenyataan bersama semalam.
Mereka menambah, ketiadaan perlindungan sewajarnya menyebabkan ramai pekerja gig berdepan risiko kemalangan, eksploitasi dan kehilangan sumber pendapatan.
“Tragedi nahas pesawat di Elmina pada tahun lalu yang meragut nyawa seorang pemandu e-hailing, sekali gus meninggalkan keluarganya tanpa perlindungan sosial, adalah bukti jelas keperluan ini.
“Keputusan mahkamah pada 2022 yang menolak hak pekerja gig membawa kes ke Mahkamah Buruh kerana tidak diiktiraf sebagai ‘pekerja’ juga menunjukkan kelemahan besar dalam sistem sedia ada,” jelas mereka.
RUU Pekerja Gig 2025 dijangka mengiktiraf status pekerja gig buat pertama kali dalam undang-undang negara, sekali gus membuka jalan kepada perlindungan lebih kukuh.
Antara fokus utama rang undang-undang itu ialah takrif jelas pekerja gig, jaminan kebajikan, peningkatan daya saing serta keyakinan pelabur terhadap ekosistem ekonomi digital Malaysia.
“Sudah tiba masanya RUU ini dibentangkan. Kami menyeru semua Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan untuk menyokong kelulusannya. Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus transformasi ekonomi baharu,” tegas mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







