Malaysia lonjak ke tangga 25 dunia dalam IMD World Talent Ranking
PUTRAJAYA – Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-25 dalam IMD World Talent Ranking 2025, pencapaian terbaik negara dalam tempoh lima tahun.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kejayaan tersebut adalah hasil pendekatan holistik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai pemudah cara utama ekosistem bakat Malaysia.
Transformasi struktur KESUMA, jelasnya, memberi penekanan kepada pemerkasaan dasar, peningkatan kemahiran serta pemahiran semula agar tenaga kerja negara kekal kompetitif dan bersedia menghadapi perubahan pekerjaan baharu.
“Peningkatan itu mencerminkan pelaburan strategik negara dalam pendidikan, kesiapsiagaan kemahiran serta pengekalan bakat tempatan, sekali gus menjadikan Malaysia antara destinasi utama profesional global,” katanya.
Sebagai rekod, di peringkat Asia-Pasifik, Malaysia berada di tangga kelima selepas Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia.
Bagi memperkukuh pembangunan kumpulan bakat masa depan, Steven berkata, TalentCorp di bawah KESUMA menggerakkan Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dan program Kolaborasi Industri-Akademia (IAC).
“Inisiatif itu sejajar dengan amalan antarabangsa yang menekankan penyelarasan pembangunan kemahiran mengikut sektor, penglibatan majikan, serta integrasi kemahiran insaniah dan teknikal bagi memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri,” katanya.
Selain itu, katanya, KESUMA turut melaksanakan Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau, di samping menerbitkan Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL) untuk memastikan pembangunan bakat selaras dengan keperluan industri.
“KESUMA membuktikan bahawa pendekatan bersepadu meliputi pendidikan, latihan, penyelidikan, kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat global dan dasar tenaga kerja adalah kunci menjadikan Malaysia sebagai hab bakat serantau yang kompeten
di peringkat global,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








