NLAC bentang cadangan tingkatkan sewa penginapan buruh – KESUMA
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) baru-baru ini membentangkan beberapa kertas kerja termasuk cadangan untuk menaikkan kadar sewa atau caj maksimum bagi penginapan yang disediakan oleh majikan atau penyedia penginapan berpusat.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, mesyuarat tersebut turut merangkumi reformasi perundangan perburuhan di Malaysia, pencapaian serta hala tuju strategik KESUMA dan semakan tatacara keharmonian perusahaan.
“Pada mesyuarat semalam, KESUMA telah berkongsi maklumat berkaitan dasar, program, inisiatif serta perkembangan semasa pasaran buruh termasuk penglibatan kementerian di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mesyuarat itu dihadiri oleh wakil kerajaan, wakil majikan dan wakil pekerja seiring dengan keanggotaan baharu NLAC yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025 hingga 30 April 2027.
Menurut kenyataan itu, kejayaan penganjuran mesyuarat itu juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh platform kerjasama tiga pihak yang melibatkan kerajaan, majikan dan pekerja.
“Mesyuarat itu bertujuan untuk membincang dan mendapatkan nasihat serta pandangan bersama berkaitan dasar, undang-undang dan amalan pekerjaan,” ujarnya.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha Kesuma untuk menangani isu perburuhan secara inklusif bagi memperbaiki keadaan pekerjaan, memantapkan amalan pekerjaan dan seterusnya meningkatkan produktiviti negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







