JENAYAH & MAHKAMAH

Padah cederakan isteri, buruh dijatuhi hukuman penjara dan denda

SUNGAI PETANI – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM1,500 ke atas seorang buruh yang mengaku bersalah memukul isterinya berpunca daripada rasa berang susulan anak mereka yang menangis tanpa henti pada 17 Mei lalu.

Tertuduh, Mohd Shafiqdan Mat Nor, 35, membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Saiful Akmal Mohd Razi.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja mencederakan isteri yang berusia 33 tahun dalam satu kejadian di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, pada pukul 4 pagi pada 17 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamarulzaman, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farah Azlinda Zahari, dalam rayuan memohon hukuman ringan dikenakan berikutan tertuduh bekerja sebagai buruh dan satu-satunya pencari nafkah keluarga selain menyara isteri serta anak berusia tiga tahun.

Dalam prosiding sama, Muhammad Saiful Akmal turut menegur tindakan tertuduh dan mengingatkan golongan suami supaya menghormati serta menyayangi isteri, bukannya bertindak ganas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button