BERITA SEMASA

Bayar RM8,000 untuk kerja buruh binaan, 20 PATI Myanmar dicekup di rumah transit

TUMPAT – Cubaan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar untuk memulakan kehidupan baharu sebagai buruh binaan di negara ini terbantut selepas mereka ditahan ketika bersembunyi di sebuah rumah transit di Chabang Empat, di sini kelmarin.

Kesemua PATI termasuk enam wanita berusia antara 19 hingga 34 tahun itu ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan pada pukul 1.15 tengah hari.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asistan Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan mendapati kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka memasuki negara ini melalui laluan tidak sah dari Thailand dengan bantuan ejen.

“Kesemua PATI itu dipercayai membuat bayaran sebanyak RM8,000 setiap seorang kepada ejen untuk masuk ke negara ini dengan dijanjikan pekerjaan sebagai buruh binaan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata, kesemua mereka telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam perkembangan lain, PGA turut menahan dua PATI warga Thailand termasuk seorang wanita dalam rondaan di Kampung Kedap, Rantau Panjang pada Jumaat lalu.

Kedua-dua remaja berusia 16 dan 17 tahun itu gagal mengemukakan dokumen sah dan mengaku bekerja sebagai tukang masak di sebuah premis makanan di Pasir Gudang, Johor sejak awal tahun lalu.

Kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button