Tujuh pekerja sangkar ikan warga asing ditahan dalam Operasi Redback
PULAU PINANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tujuh pekerja sangkar ikan warga asing dalam dua pemeriksaan berasingan ketika melaksanakan Operasi Redback di perairan Batu Kawan sejak semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tangkapan pertama dilakukan petang semalam apabila bot peronda Maritim Malaysia memeriksa beberapa sangkar ikan yang beroperasi di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, pasukan menemui sebuah sangkar ikan terletak 2.7 batu nautika barat Batu Kawan yang menggajikan enam warga Myanmar tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada pemeriksaan pagi tadi, seorang lagi pekerja sangkar ikan warga Myanmar turut ditahan di kawasan sama selepas gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Menurut Muhammad Suffi, pemilik sangkar ikan terbabit juga bakal berdepan tindakan kerana mengendalikan operasi tanpa lesen sah di bawah Akta Perikanan 1985.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






