Polis Pulau Pinang tumpaskan tiga sindiket penipuan antarabangsa, 32 ditahan
BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan tiga sindiket penipuan antarabangsa menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam semalam dengan penahanan 32 individu termasuk empat lelaki tempatan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan yang dianggarkan bernilai RM123,000.
Menurut beliau, serbuan pertama di Taman Pinggiran Bukit Minyak berjaya membongkar kegiatan sindiket love scam yang dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menyasarkan mangsa di Malaysia, China dan Taiwan.
“Hasil operasi itu, polis menahan 10 warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Taiwan berusia antara 24 hingga 41 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas 16 unit komputer, 23 telefon bimbit dan empat router WiFi bernilai kira-kira RM78,000 selain menemui skrip yang dipercayai digunakan untuk memperdaya mangsa.
Dalam perkembangan sama, serbuan kedua berjaya menumpaskan sindiket penipuan pertukaran mata wang kripto USDT yang menyasarkan mangsa dari Taiwan.
Katanya, seramai 15 individu ditahan membabitkan enam lelaki dan seorang wanita warga Taiwan, dua lelaki dan dua wanita warga Vietnam serta empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 49 tahun.
“Polis turut merampas 28 komputer, 21 telefon bimbit dan sebuah router WiFi dengan nilai keseluruhan kira-kira RM25,000. Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula beroperasi sejak April lalu,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam serbuan ketiga, polis berjaya melumpuhkan sindiket phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis Jepun bagi memperdayakan mangsa di Jepun dan Taiwan.
Seramai tujuh warga asing ditahan dalam operasi berkenaan melibatkan lima lelaki warga Jepun dan dua lelaki warga Taiwan berusia antara 20 hingga 47 tahun.
Antara barang yang dirampas ialah telefon bimbit, komputer riba, iPad, pakaian seragam Polis Osaka, kad kuasa dan lencana polis palsu serta peralatan komunikasi satelit dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM20,000.
Azizee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.
“Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








