BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

RUU Pekerja Gig perkukuh hak, akui peranan wira moden ekonomi

PULAU PINANG – Pekerja gig diiktiraf sebagai ‘wira moden’ yang menyumbang besar kepada ekonomi negara melalui Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan, RUU Pekerja Gig bukan sekadar undang-undang, sebaliknya pengiktirafan terhadap sumbangan golongan itu dalam pembangunan negara.

“RUU Pekerja Gig bukan sekadar undang-undang. Ia adalah pengiktirafan bahawa pekerja gig merupakan wira moden yang menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Penang Rider Jalan Teruih di Permatang Pauh semalam yang berjaya menghimpunkan lebih 1,500 penunggang motosikal, majoritinya daripada kalangan pekerja gig khususnya p-hailing.

Program berkenaan dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang serta Penang Youth Development Centre (PYDC).

Turut terlibat, kelab-kelab motosikal termasuk Xtreme Bikers Club, MSBKC, Northern Versy Owner Group, Zontes 368G Northern Rider Club, PMTC, Sahabat Honda Penaga, ATMS dan RRC Grab 2W Penang.

Acara bermula dengan konvoi motosikal bersama Menteri Sumber Manusia itu bersama 300 penunggang sejauh tiga kilometer dari pejabat JPJ Seberang Jaya menuju tapak utama program di Permatang Pauh.

Lebih 1,500 peserta berpeluang mendengar penjelasan secara langsung mengenai perundangan baharu itu yang akan memberi perlindungan kepada pekerja gig daripada aspek undang-undang perburuhan, keselamatan sosial dan hak pekerja.

Dalam sesi dialog, Steven turut menjawab semua soalan yang dikemukakan komuniti pekerja gig berhubung pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Selain penerangan RUU, peserta turut disajikan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah motosikal elektrik (EV) serta lebih 400 hadiah lain.

Siri jelajah itu akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi memastikan pekerja gig mendapat maklumat, perlindungan dan manfaat sepenuhnya di bawah RUU Pekerja Gig.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button