BERITA SEMASA

Perintah gaji minimum RM1,700 sebulan dikuat kuasa penuh mulai 1 Ogos

PUTRAJAYA – Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan akan mula dikuat kuasa sepenuhnya ke atas semua majikan di seluruh negara tanpa mengira jumlah pekerja yang digajikan bermula 1 Ogos ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua majikan diwajibkan menyemak semula struktur gaji bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang ditetapkan.

Menurut KESUMA, kadar baharu itu telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 1 Februari lalu, melibatkan majikan yang menggaji lima orang pekerja ke atas serta majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan dalam Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.

“Mulai 1 Ogos 2025, semua majikan tanpa pengecualian termasuk mereka yang sebelum ini diberi penangguhan, wajib mematuhi perintah gaji minimum RM1,700 sebulan.

“Perintah itu turut terpakai kepada pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan kecuali pekhidmat domestik,” jelas kenyataan itu.

KESUMA menegaskan, kegagalan mematuhi perintah tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, selain denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Bagi kesalahan berulang, denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

“Majikan juga digesa membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja,” menurut kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, KESUMA turut menggalakkan majikan memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan menjadi pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.

Melalui DGP, pendapatan pekerja dapat ditingkatkan berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja selain membolehkan syarikat menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.

“Langkah itu bukan sahaja membantu mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi, malah mengukuhkan daya saing jangka panjang syarikat dalam pasaran buruh yang semakin mencabar,” jelas KESUMA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button