
Laporan interim penubuhan Suruhanjaya Gig dibentang kepada Jemaah Menteri esok
KUALA LUMPUR – Nota pertama mengenai laporan interim kajian penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, nota pertama yang dirangka secara bersama Universiti Malaya itu akan menjadi kerangka utama bagi penubuhan sebuah suruhanjaya yang dapat membela nasib pekerja sektor terbabit.
“Saya tahu pekerja e-hailing dan p-hailing menunggu penubuhan Suruhanjaya (Pekerja) Gig (Malaysia) kerana penubuhannya adalah usaha kerajaan untuk membela pekerja gig.
“Esok dalam mesyuarat Kabinet, kita akan bentangkan nota pertama laporan interim untuk kajian penubuhan suruhanjaya (berkenaan), bagi mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri dalam melaksanakan perincian lanjut dan lengkap kepada penubuhannya,” katanya.
Steven berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tajaan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kesuma dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PEERKESO) bersama Grab Malaysia.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor.
Kata Steven lagi, hasrat penubuhan suruhanjaya ini adalah untuk memastikan pekerja sektor gig mendapat pembelaan, bukan sahaja dari segi gaji tetapi termasuk perlindungan keselamatan sosial, kebajikan, isu kilatan dan bantuan kerjaya.
Tambahnya, selepas pembentangan dan mendapatkan input tambahan daripada Jemaah Menteri, perincian lanjut akan dilakukan bagi menyelesaikan rangka kajian yang dijangka lengkap pada Ogos ini.
“Semasa proses perincian, kita akan adakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan sektor gig untuk memastikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia dapat direalisasikan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia disegerakan bagi membela nasib 1.12 juta pekerja sektor berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








