BERITA SEMASA

Majikan wajib bayar gaji pekerja asing sebaik tiba – Steven Sim

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkan arahan agar sebuah syarikat membayar tunggakan gaji kepada 93 pekerja migran yang didakwa diabaikan tanpa pekerjaan selepas tiba di Malaysia.

Keputusan itu yang dibuat pada 31 Oktober lalu turut mengekalkan keputusan Mahkamah Buruh pada 8 November 2024, sekali gus mengesahkan pendirian Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bahawa setiap majikan wajib membayar gaji kepada pekerja migran sebaik mereka tiba di negara ini, walaupun belum diberikan tugasan kerja.

Menurut Steven Sim, prinsip tersebut telah ditegaskannya sejak Januari 2024, sebulan selepas memimpin kementerian berkenaan.

“Setiap pekerja asing yang datang ke Malaysia berhak menerima gaji. Majikan tidak boleh berdalih bahawa tiada kerja disediakan.

“Jika tiada pekerjaan, jangan bawa masuk pekerja. Jika pekerja telah dibawa masuk, gaji mesti dibayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dapatan Mahkamah Buruh turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap pekerja asing boleh dibawa masuk sebagai ‘stok pekerja sedia ada’ dan hanya dipanggil bekerja apabila diperlukan.

“Ini merupakan satu tanggapan yang salah kerana kerajaan tidak pernah meluluskan konsep sedemikian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Steven Sim memaklumkan kesemua 93 pekerja terlibat telah berjaya ditempatkan semula dengan majikan baharu melalui inisiatif Pertukaran Majikan Khas yang dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Keputusan ini harus dijadikan pengajaran kepada majikan kerana kegagalan membayar gaji merupakan pelanggaran serius undang-undang buruh.

“KESUMA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menafikan hak asasi pekerja,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button