JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja curi 12 jam tangan mewah RM2.6 juta dipenjara setahun

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai jam tangan mewah di Bukit Jalil yang melarikan 12 jam tangan bernilai kira-kira RM2.6 juta berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam sebelum dijatuhi hukuman penjara setahun dan sebatan oleh mahkamah.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.10 tengah hari pada 31 Mac lalu apabila suspek lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai mengambil 12 jam tangan pelbagai jenama mewah termasuk Patek Philippe, Rolex dan Richard Mille di premis berkenaan sebelum melarikan diri.

Perbuatan suspek terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia memasukkan semua jam berkenaan ke dalam beg galas sebelum meninggalkan premis.

Sumber berkata, kejadian disedari seorang rakan sekerja selepas mendapati semua jam di ruang pameran hilang sejurus suspek berada di kawasan stor penyimpanan.

“Majikan kemudiannya cuba menghubungi suspek namun tidak menerima sebarang maklum balas,” memetik BH online.

Bagaimanapun, sebahagian jam tangan berkenaan berjaya dipulangkan selepas seorang rakan suspek menyerahkan beg mengandungi tujuh jam mewah tanpa mengetahui kandungannya.

Polis kemudian menahan suspek di kawasan parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 1 April sebelum merampas semula baki jam tangan dan beberapa resit pajak gadai.

Kesemua barangan tersebut berjaya dirampas semula oleh pihak berkuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan oleh pekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras mengesahkan penahanan suspek serta hukuman yang dikenakan terhadapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button