Pemilik kenderaan berdaftar asing bakal dikenakan tindakan sekiranya membeli RON95
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka peraturan baharu yang akan menguatkuasakan larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar asing di stesen-stesen minyak.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu melibatkan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memperkukuh kawalan terhadap penyaluran subsidi RON95.
Beliau menjelaskan, peraturan sedia ada di bawah Peraturan 12A hanya membabitkan larangan penjualan yang bermakna tindakan hanya boleh diambil terhadap stesen minyak dan bukannya pemilik atau pemandu kenderaan berdaftar asing.
“Dengan peraturan baharu ini, larangan akan merangkumi pembelian juga. Mereka yang membeli, sama ada pemilik atau pemandu kenderaan pendaftaran asing, turut boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Armizan berkata, KPDN kini sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan menyasarkan peraturan baharu itu dapat dimuktamadkan serta dikuatkuasakan mulai 1 April ini.
Katanya, dalam usaha memastikan pemantauan dan penguatkuasaan subsidi RON95 di peringkat runcit, KPDN telah melaksanakan beberapa langkah termasuk pemeriksaan berkala di stesen minyak bagi memastikan pematuhan mekanisme penggunaan kad pengenalan dan penguatkuasaan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing.
Selain itu, penguatkuasaan kawalan pembelian luar tangki turut diperketatkan dengan larangan penjualan melebihi 20 liter tanpa permit khas, serta pemantauan berkala melalui buku log dan peti lawatan di stesen minyak bersempadan.
Langkah penguatkuasaan ini turut melibatkan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan.
Armizan menegaskan, langkah-langkah ini bertujuan memperkukuh pengurusan subsidi RON95 dan memastikan mekanisme subsidi disalurkan dengan lebih teratur, sambil mengurangkan penyelewengan khususnya daripada kenderaan berdaftar asing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








