JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN rampas 3,545 keping emas kurang ketulenan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,545 keping emas pelbagai bentuk dipercayai tidak mematuhi standard ketulenan ditetapkan dirampas Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu serbuan di ibu negara.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa mengesan penjualan produk emas dengan kandungan sebenar yang jauh lebih rendah berbanding ketulenan yang dicop pada produk yang dijual melalui dalam talian itu.

“Hasil pemeriksaan menggunakan peralatan X-Ray Fluorescence (XRF) mendapati, walaupun ditandakan dengan standard ketulenan AU 999.9, bacaan purata kandungan emas sebenar hanyalah sekitar 77 peratus, sekali gus tidak selaras dengan tahap ketulenan yang diiklankan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis terbabit merupakan pembekal kepada beberapa peruncit yang memasarkan produk emas sama melalui platform dalam talian.

“Produk yang dipamerkan di premis itu juga didapati serupa dengan yang diiklankan di media sosial,” menurut kenyataan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDN hari ini.

KPDN berkata, ujian ke atas emas yang disita juga menunjukkan kandungan emas berbeza-beza antara 80 peratus hingga 98 peratus bagi setiap kepingan seberat 0.01 gram.

“Turut dirampas beberapa peralatan dan dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan. Nilai keseluruhan rampasan dianggar berjumlah RM82,725,” katanya.

Sebahagian daripada kepingan emas yang dirampas oleh KPDN dalam serbuan di Pusat Perniagaan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5(1)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar standard ketulenan barangan logam berharga.

KPDN memaklumkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu berkaitan kandungan, jenis atau nama barangan di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta 730.

Bagi kesalahan di bawah akta tersebut, individu boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh mencecah RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Operasi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) ke atas sebuah premis perniagaan di Pusat Perniagaan Kuchai Lama
berkenaan membabitkan seramai enam pegawai penguat kuasa.

Dalam pada itu, KPDN menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi membanteras amalan perniagaan yang mengelirukan dan menipu pengguna, khususnya melibatkan penjualan barangan logam berharga.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti penipuan perdagangan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Turut dirampas beberapa peralatan dan dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan. Nilai keseluruhan rampasan dianggar berjumlah RM82,725.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button