JENAYAH & MAHKAMAH

PGA rampas burung eksotik bernilai RM100,000 di sempadan Kelantan-Thailand

KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk empat ekor burung eksotik bernilai kira-kira RM100,000 dari Thailand dalam satu operasi di kawasan sempadan berhampiran pangkalan haram Kak Nah, Pengkalan Kubor, Tumpat semalam.

Rampasan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan kira-kira pukul 7 malam oleh Pasukan Tindakan Khas PGA selepas mengesan seorang lelaki sedang memunggah beberapa sangkar di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asistan Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek bagaimanapun melarikan diri dengan menaiki bot ke arah tebing Thailand sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemukan dua ekor burung spesies Blue and Gold Macaw serta dua ekor burung spesies Blue-fronted Amazon yang ditinggalkan di dalam dua sangkar.

“Burung-burung tersebut dipercayai dibawa masuk ke negara ini tanpa permit sah untuk dijual kepada pembeli tempatan.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM100,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Tambahnya, PGA akan terus memperhebat rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar yang masih berlaku menerusi laluan tidak sah di sepanjang sempadan negara.

“PGA komited membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan hidupan liar yang boleh mengancam kelestarian spesies serta melanggar undang-undang negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button