DBKL, KL Strike Force perhebat tindakan tegas ‘ulat gambar’ di kawasan tumpuan pelancong
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Skuad KL Strike Force dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggempur beberapa lokasi tumpuan ‘ulat gambar’ di ibu kota, baru-baru ini.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi bersepadu itu bertujuan memastikan kawasan awam terutama yang menjadi tumpuan pelancong kekal selamat dan bebas daripada gangguan.
Antara yang diserbu adalah di kawasan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan laluan Pintasan Saloma.
“Pemeriksaan mendapati kegiatan ‘mobilegrapher’ semakin meluas serta mengganggu pergerakan pengunjung,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Dalam operasi berkenaan, DBKL mengenakan 23 tindakan sitaan peralatan jurugambar haram dan mengeluarkan 23 notis kompaun mengikut UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Menurut pihak berkuasa itu, orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan, tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menghormati ruang awam demi memastikan Kuala Lumpur kekal aman, teratur dan selesa untuk semua.
“Tindakan tegas akan diteruskan dari semasa ke semasa tanpa kompromi,” katanya lagi.
Kehadiran PDRM dan JPN membantu memperkukuh aspek keselamatan, pengesahan identiti serta pematuhan undang-undang di lokasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








