BERITA SEMASA

Operasi SAR kanak-kanak jatuh longkang disambung hari ini

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, di sini, disambung hari ini bermula jam 8 pagi.

Mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, operasi semalam ditangguhkan pada jam 7.30 malam selepas usaha pencarian tidak menemui sebarang petunjuk.

Menurut beliau, seramai 22 anggota penyelamat termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi tersebut.

“Operasi pencarian dijalankan dalam radius kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

“Setakat operasi ditangguhkan semalam, mangsa masih belum ditemukan,” memetik BH online.

Beliau berkata, operasi hari ini akan diteruskan dengan tumpuan di kawasan aliran longkang dan laluan air berpotensi bagi mengesan mangsa.

Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.08 malam semalam.

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai susulan beberapa insiden sama yang pernah dilaporkan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan di kawasan perparitan terutama ketika cuaca hujan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button