Proses roboh 119 premis di Kampung Chubadak Tambahan berjalan lancar
KUALA LUMPUR – Operasi merobohkan 119 buah premis di Kampung Chubadak Tambahan, Mukim Setapak, Sentul, di sini, semalam berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, operasi itu membabitkan perobohan struktur binaan di kawasan berkenaan dengan pemantauan berterusan pihak berkuasa.
Beliau berkata, sehingga pukul 2 petang, kesemua 119 premis berkenaan berjaya dirobohkan.
“Sepanjang operasi berlangsung, tiada kehadiran badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mencetuskan sebarang gangguan direkodkan.
“Keadaan di lokasi adalah terkawal dan operasi berjalan lancar di bawah pemantauan berterusan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Op Roboh Fasa 1 sebelum ini dilaksanakan pada 14 Januari lalu membabitkan 69 rumah.
Katanya, mahkamah telah menyerahkan notis pengosongan kepada pemilik premis pada 16 Julai lalu dan memberi tempoh sehingga hari ini untuk mengosongkan kawasan berkenaan.
Basri berkata, semua proses pengosongan tapak dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur ditetapkan.
“Pihak polis juga akan terus komited memastikan keselamatan awam, ketenteraman serta kelancaran setiap operasi penguatkuasaan demi kepentingan semua pihak.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















