
29 pekerja PATI ditahan dalam serbuan kilang di Kundang
GOMBAK – Pegawai Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menggagalkan cubaan sebahagian pendatang tanpa izin (PATI) yang bersembunyi di sebalik timbunan kotak untuk mengelak diri daripada dicekup dalam serbuan di sebuah kilang di Kundang, di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, seramai 29 orang pekerja asing lelaki ditahan Bahagian Penguatkuasa JIM bersama Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, kesemua 29 orang PATI yang ditahan didapati mempunyai pelbagai kesalahan imigresen.
“Seramai 128 warga asing diperiksa dalam serbuan kali ini dan hasil saringan yang dijalankan mendapati 29 PATI mempunyai pelbagai kesalahan Imigresen.
“Individu yang ditahan membabitkan 21 lelaki warga Bangladesh dan lapan warga Nepal yang berusia antara 21 hingga 51 tahun.
“Kesemua bekerja sebagai operator di kilang logistik ini dan siasatan masih dijalankan bagi mengetahui berapa lama mereka sudah bekerja di kilang ini,” katanya.
Basri berkata, serbuan yang dijalankan itu adalah hasil daripada maklumat penduduk di kawasan berhampiran yang tidak senang dengan lambakan warga asing di kawasan tersebut.
“JIM telah melaksanakan risikan selama satu minggu berdasarkan aduan penduduk setempat.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke ibu pejabat Imigresen untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan dan ATIPSOM, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Abd Kadir Muhamad berkata, semakan mendapati majikan kilang tersebut gagal mematuhi syarat dalam penyediaan tempat tinggal kepada pekerja.
“Hasil pemeriksaan mendapati enam pekerja menginap di penginapan yang disediakan.
“Kita akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446],” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








