Imigresen Johor gempur premis makanan, 27 PATI ditahan
KOTA TINGGI – Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan 27 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di beberapa premis makanan sekitar bandar raya ini selepas disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pengarahnya, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula pada pukul 3 petang kelmarin itu dijalankan hasil risikan serta maklumat awam berkaitan kegiatan menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan terhadap pekerja dan majikan di premis makanan terbabit susulan aduan mengenai pelanggaran undang-undang imigresen.
“Seramai 27 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas lawatan dan bekerja tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, individu yang ditahan membabitkan 18 lelaki dan enam wanita warga Myanmar, selain masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh, Pakistan dan Nepal berusia antara 19 hingga 46 tahun.
Katanya, semua mereka dipercayai bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran di premis berkenaan.
“Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Mohd Rusdi berkata, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi membantu siasatan lanjut.
Selain itu, katanya, tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








