Wanita Myanmar disyaki ejen haram sindiket PLKS diberkas Imigresen
CHERAS – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang wanita warga Myanmar yang disyaki bertindak sebagai ‘ejen haram’ serta mempunyai kaitan dengan suspek utama yang diberkas menerusi Op Crack sebelum ini dalam satu serbuan di Bandar Mahkota Cheras, di sini, kelmarin.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan itu dibuat susulan maklumat yang diperoleh hasil operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Crack pada Selasa lalu.
Menurut beliau, sepasukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dari ibu pejabat Putrajaya menyerbu sebuah kediaman sebelum menahan wanita berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki menjadi dalang utama sindiket dan telah ditahan SPRM dalam Op Crack bersama JIM.
“Turut ditahan ialah seorang lelaki serta enam lagi wanita warga Myanmar dipercayai sedang menunggu untuk dibekalkan kepada majikan.
“Kesemua mereka yang ditahan itu berumur antara 29 hingga 56 tahun. Jumlah keseluruhan ditahan ialah lapan orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, semakan awal mendapati wanita yang disyaki menjadi ejen haram itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi sektor perkhidmatan.
Menurutnya, empat lagi wanita warga Myanmar didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, manakala seorang lelaki dan dua lagi wanita warga negara itu tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
“Suspek wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
“Empat wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lelaki dan dua wanita warga Myanmar ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menyita 16 naskhah pasport Myanmar, salinan PLKS yang dipercayai palsu serta dokumen berkaitan pembekalan pekerja.
Selain itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris yang dipercayai digunakan sindiket bagi menjalankan kegiatan berkenaan turut disita.
“Modus operandi sindiket itu dipercayai bertindak sebagai ‘ejen haram’ dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS dipercayai dikeluarkan secara tidak sah melalui sistem pengurusan pekerja asing JIM yang telah diceroboh,” katanya.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang yang tidak memiliki pas sah atau telah tamat tempoh tinggal dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS.
Katanya, sindiket itu juga dipercayai membekalkan pekerja asing kepada majikan yang memerlukan tenaga kerja dengan mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan dipercayai aktif sejak awal tahun ini.
Beliau berkata, JIM akan meneruskan siasatan bagi menjejaki rangkaian sindiket berkenaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara.
Sebelum ini, media melaporkan 12 individu termasuk enam pegawai Imigresen dan seorang pegawai polis ditahan SPRM kerana disyaki terbabit dalam sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan permohonan PLKS secara tidak sah.
Sindiket itu dipercayai memanipulasi sistem menggunakan kuota PLKS 2011 tanpa membuat bayaran levi sebelum mengeluarkan 1,306 PLKS palsu, sekali gus mengakibatkan kerajaan kerugian dianggarkan RM2.4 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini dilaporkan berkata, semua suspek ditahan menerusi operasi bersepadu Op Crack yang dijalankan bersama JIM sejak 28 Julai lalu.
Pada Jumaat lalu, Zakaria turut dipetik berkata, JIM akan membatalkan semua PLKS yang dikenal pasti diluluskan secara tidak teratur, selain mengesan pemegang pas berkenaan untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















