BERITA SEMASA

Hujan lebat tangguh SAR lelaki dihanyutkan arus deras

KAJANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus deras di Sungai Chuah, berhampiran Jalan Pasir Emas 2, ditangguhkan petang semalam susulan hujan lebat.

Mangsa, lelaki berbangsa India berusia lingkungan 40-an, dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai ketika memakai baju putih.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.23 petang Ahad selepas orang awam melaporkan melihat mangsa dihanyutkan arus.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang tiba di lokasi enam minit kemudian sebelum memulakan operasi pencarian di sepanjang tebing sungai.

“Usaha pencarian awal tertumpu di sepanjang tebing sungai sebelum operasi diperluaskan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan unit anjing pengesan (K9).

“Seramai tujuh anggota PPDA tiba di lokasi pada jam 6.38 petang, manakala pos kawalan hadapan dibuka pada jam 6.42 petang bagi menyelaras operasi pencarian,” memetik BH online.

Ashrul berkata, operasi memasuki hari kedua pada Isnin dengan anggota penyelamat menggunakan kayak dan bot untuk menyusuri sungai, manakala unit K9 melakukan pencarian di sepanjang tebing.

Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 4.30 petang berikutan hujan lebat di lokasi kejadian.

“Operasi SAR akan disambung semula esok,” katanya lagi.

Operasi itu membabitkan 23 anggota bomba, lima anggota polis dan dua anggota Bomba Sukarela Malaysia (RBM), termasuk anggota dari BBP Kajang, Shah Alam dan Pelabuhan Klang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button