TXA 2026 himpun lebih 150 penceramah, 60 sesi forum
KUALA LUMPUR – Lebih 150 penceramah dan lebih 60 sesi forum bakal menjadi tumpuan Transport Expo Asia (TXA) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, dari 20 hingga 22 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ekspo itu menjadi platform strategik untuk membincangkan masa depan sektor pengangkutan negara, termasuk mobiliti, pendigitalan, penyahkarbonan, keselamatan jalan raya dan kesalinghubungan serantau.
Menurut beliau, penganjuran TXA 2026 penting untuk mencorakkan masa depan pengangkutan Malaysia menerusi perkongsian idea, penerokaan teknologi dan pengukuhan kerjasama strategik.
“Daripada mobiliti autonomi dan kenderaan elektrik kepada logistik generasi baharu, kita bukan sahaja perlu mengikuti perkembangan global, malah memastikan Malaysia bersedia menghadapi transformasi ini dengan yakin, inovatif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program itu dimulakan pada 19 Oktober menerusi Kongres Keselamatan Jalan Raya 2026 dan tiga bengkel anjuran Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang memfokuskan keselamatan jalan raya, automasi operasi darat, identiti digital serta pertukaran data kargo.
Majlis perasmian pada 20 Oktober akan disempurnakan oleh Loke sebelum diteruskan dengan persidangan dan pameran berkaitan sektor pengangkutan darat, penerbangan, maritim serta keselamatan jalan raya.
Antara perkara yang diberi tumpuan termasuk peralihan tenaga, kesiapsiagaan tenaga kerja, pembangunan berorientasikan transit, pembaharuan perundangan maritim dan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau perkhidmatan pengisian bahan api kapal.
Pada 21 Oktober, Forum Kesalinghubungan Pengangkutan ASEAN akan membincangkan daya saing kargo, integrasi pengangkutan pelbagai mod, kecerdasan buatan (AI) dan perdagangan digital, selain pembangunan projek rel utama termasuk Laluan Rel Borneo, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link.
Program pada 22 Oktober pula memberi tumpuan kepada integrasi pengangkutan awam, keselamatan kenderaan autonomi, infrastruktur pintar dan penggunaan rangkaian rel bagi meningkatkan kecekapan pengangkutan kargo.
Selain persidangan, pengunjung berpeluang melihat pelbagai inovasi menerusi pameran kenderaan elektrik (EV), demonstrasi logistik, teknologi pemanduan autonomi, aplikasi AI, simulasi pelanggaran kenderaan dan sistem brek kecemasan automatik untuk motosikal.
Pameran di Dewan 2 dan Dewan 3, Aras 1, MITEC dibuka kepada pengunjung dari jam 10 pagi hingga 6 petang pada 20 dan 21 Oktober, manakala pada 22 Oktober sehingga jam 5.30 petang.
TXA Awards & Gala Dinner turut diadakan di Hyatt Regency Kuala Lumpur, KL Midtown bagi mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan pencapaian dalam sektor pengangkutan.
Anthony turut berkata, penganjuran ekspo itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh sektor pengangkutan menerusi inovasi, pembangunan infrastruktur, perkongsian kepakaran dan kerjasama rentas sektor.
Maklumat lanjut mengenai TXA 2026 boleh diperoleh menerusi laman web www.txa.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








