JENAYAH & MAHKAMAH

Guru wanita kes pelajar maut dirempuh tiba di mahkamah

KOTA BHARU – Guru wanita yang terbabit dalam kejadian melanggar dua pelajar Tingkatan Satu sehingga seorang daripadanya maut di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, April lalu, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini, hari ini.

Guru berusia 57 tahun itu tiba kira-kira jam 8.35 pagi dengan diiringi pegawai dan anggota polis bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kejadian berkenaan.

Turut hadir ialah suaminya yang dilihat tenang ketika mengiringi guru terbabit.

Guru berkenaan dijangka berdepan dua pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian dan Seksyen 336 kanun sama kerana melakukan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Dalam kejadian pada 12 April lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh kenderaan dipandu guru wanita itu di hadapan surau sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri sebelum itu dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu wanita itu dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaannya terbabas lalu melanggar kedua-dua pelajar terbabit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button