Guru, pesara guru rugi lebih RM1.4 juta diperdaya ‘phone scam’
KUANTAN – Dua wanita termasuk seorang pesara guru kerugian lebih RM1.4 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa masing-masing berusia 60 dan 42 tahun itu mengalami kerugian sebanyak RM1.01 juta dan RM431,000 berdasarkan laporan diterima semalam.
Menurutnya, kes pertama melibatkan pesara guru yang menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai wakil syarikat jualan dalam talian sebelum disambungkan kepada suspek yang mendakwa dirinya pegawai polis pada 6 September 2024.
“Mangsa diberitahu kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta penjualan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada penjenayah.
“Bagi memperdayakan mangsa, suspek mengarahkan mangsa membuat laporan polis melalui panggilan telefon selain merakam suara sebagai pengakuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, mangsa turut diugut dengan dua pilihan sama ada ditangkap dan direman atau menyerahkan semua harta miliknya.
Akibat ketakutan, mangsa melakukan 122 transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank sepanjang tempoh 6 September 2024 hingga 5 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM1,014,000.
“Mangsa juga diarahkan melapor diri enam kali sehari iaitu setiap tiga jam serta dilarang memaklumkan perkara itu kepada mana-mana pihak,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerugian itu membabitkan wang simpanan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hasil penjualan rumah, wang persaraan, pinjaman peribadi, gadaian barang kemas serta pelaburan lain milik mangsa.
Dalam kes kedua, Yahaya berkata, seorang guru di Raub menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pegawai syarikat insurans sebelum disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis pada 2 Februari lalu.
“Mangsa dimaklumkan kononnya terbabit dalam tuntutan insurans palsu berjumlah RM68,000 selain kes pengubahan wang haram serta rasuah.
“Mangsa diarahkan mengisytiharkan akaun bank dan menukar nombor telefon bagi tujuan perbankan internet sebelum membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun di bawah kawalan suspek,” katanya lagi.
Akibatnya, mangsa mengalami kerugian RM431,000 membabitkan wang simpanan peribadi, pinjaman serta pajakan barang kemas.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






