BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pesara kerajaan rugi lebih RM300,000 terjerat ‘phone scam’

TAIPING – Seorang warga emas mengalami kerugian RM318,521 akibat diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang didakwa menyamar sebagai pihak berkuasa, di sini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa wanita berusia 74 tahun dan pesara kerajaan membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Mangsa menerima panggilan telefon pada 2 Disember daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil Tenaga Nasional Berhad dan memaklumkan kononnya nama mangsa digunakan untuk pendaftaran meter elektrik di Kuantan, Pahang.

“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dimaklumkan terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya.

Beliau berkata, mangsa diarahkan memberi kerjasama dengan menyerahkan maklumat peribadi, butiran akaun serta memaklumkan jumlah wang dan barang kemas yang dimiliki bagi tujuan siasatan.

Tambahnya, mangsa turut diarahkan membungkus kad ATM dan barang kemas sebelum meletakkannya di lokasi yang ditetapkan, selain memberikan kata laluan kad ATM.

“Oleh kerana mangsa dalam keadaan takut, mangsa mematuhi semua arahan termasuk memindahkan simpanan Amanah Saham Bumiputera ke akaun bank dan memberikan maklumat akaun Tabung Haji,” katanya.

Mangsa menyedari semua wang dalam akaun bank dan Tabung Haji telah lesap pada 23 Disember dan hasil semakan mendapati terdapat transaksi yang tidak dilakukan oleh mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button