BERITA SEMASADALAM NEGERI

Remaja 18 tahun rugi RM56,000 terpedaya tawaran hadiah tidak wujud

HULU TERENGGANU – Akibat terpedaya dengan tawaran memenangi hadiah wang tunai daripada individu tidak dikenali, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berputih mata apabila kerugian RM56,600.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai perkakasan (hardware) itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa dia telah memenangi hadiah lumayan.

Beliau berkata, bagi menuntut hadiah tersebut, mangsa diminta membuat beberapa bayaran kononnya sebagai caj pemprosesan dan dijanjikan wang berkenaan akan dikembalikan bersama hadiah kemenangan.

“Kerana percaya dengan janji suspek, mangsa kemudian melakukan pemindahan wang secara berperingkat ke empat akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM56,600.

“Selepas itu suspek terus mendesak mangsa membuat bayaran tambahan, namun barulah mangsa menyedari dirinya ditipu lalu tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan atau mesej tidak dikenali yang menjanjikan hadiah atau ganjaran wang tunai.

“Semakan boleh dibuat melalui sumber rasmi seperti Portal SemakMule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button