Tiga termasuk remaja ditahan, dadah RM120,000 dirampas
IPOH – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tiga individu termasuk seorang remaja perempuan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM120,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Tiara di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 8.45 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 17 hingga 43 tahun.
Menurut beliau, operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah yang dipercayai aktif di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan telah membawa kepada rampasan satu bungkusan plastik lutsinar dan sembilan peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki ketamin dengan anggaran berat keseluruhan 1,001 gram.
“Turut dirampas sebanyak 350 keping foil aluminium yang setiap satunya mengandungi 10 biji pil disyaki Erimin 5 dengan anggaran berat keseluruhan 1,100 gram,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM120,050.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif ketamin manakala dua lagi suspek negatif dadah.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai telah aktif sejak hampir dua tahun lalu dan dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan di negeri ini,” katanya lagi.
Tambah beliau, seorang suspek direman selama empat hari bermula semalam manakala seorang lagi direman enam hari sehingga 28 Jun ini.
“Bagaimanapun, permohonan reman terhadap seorang lagi suspek telah ditolak oleh Majistret Mahkamah Ipoh,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau turut berkata, seramai 8,721 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di seluruh Perak bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.
“Kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama erat antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di negeri itu,'” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








