BERITA SEMASADALAM NEGERI

APMM Pulau Pinang perkukuh kerjasama bersama komuniti nelayan

PULAU PINANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh hubungan strategik dengan komuniti nelayan tempatan menerusi sesi dialog santai yang berlangsung di Sungai Pinang, di sini, baru-baru ini.

Program tersebut diketuai oleh Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Razali Kasim bersama beberapa pegawai kanan sebagai inisiatif untuk mendengar pandangan masyarakat akar umbi serta menambah baik operasi maritim di peringkat lapangan.

Antara topik utama yang dibincangkan dalam sesi itu termasuk maklum balas terhadap pelaksanaan Operasi Khas Pagar Laut 1/2025 yang berakhir baru-baru ini, serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan di laut yang dilaksanakan di perairan sekitar negeri itu.

Komuniti nelayan tempatan turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak APMM dan menyambut baik usaha yang dilaksanakan.

Mereka turut berkongsi pengalaman dan mencadangkan penambahbaikan bagi memastikan keselamatan serta hasil tangkapan yang lebih baik.

Dalam ucapannya, Kepten Maritim Razali menegaskan komitmen agensi untuk meneruskan usaha secara berstruktur dan berterusan.

Beliau turut mencadangkan pewujudan pasukan sahabat maritim atau rakan strategik tempatan sebagai platform menyampaikan maklumat serta memantau sebarang aktiviti mencurigakan.

“Kami percaya pendekatan berasaskan komuniti ini akan menjadi tunjang kepada keselamatan maritim yang mampan, di samping memperkukuh rasa tanggungjawab bersama terhadap sumber laut negara,” ujar beliau.

Usaha itu selaras dengan pendekatan Malaysia Madani yang menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam menjamin keselamatan serta kelestarian sumber maritim negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button