Kerani rugi lebih RM277,000 diperdaya tawaran ‘kerja sambilan’ atas talian
MUAR – Seorang kerani wanita mengalami kerugian sebanyak RM277,587 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara online dalam kejadian yang dilaporkan kepada polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa berusia 42 tahun pada mulanya membuat carian kerja sambilan melalui platform Google sebelum menekan pautan yang memperkenalkannya kepada individu mendakwa sebagai wakil syarikat ‘HR HotelRunner’.
“Mangsa kemudian dihubungkan dengan seorang lagi individu yang memberikan arahan untuk melaksanakan tugasan tempahan bilik hotel secara atas talian yang memerlukan mangsa membuat bayaran terlebih dahulu dengan janji pulangan komisen antara 10 hingga 35 peratus bagi setiap transaksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa mula mempercayai skim berkenaan setelah menerima bayaran komisen pada tugasan pertama sebelum meneruskan 43 tugasan seterusnya.
“Hasil siasatan mendapati mangsa telah melakukan sebanyak 44 transaksi ke 13 akaun bank berbeza, membabitkan jumlah keseluruhan RM277,445 kononnya sebagai bayaran tempahan hotel,” ujarnya.
Mangsa hanya menyedari ditipu apabila diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan pulangan yang dijanjikan, namun tidak berbuat demikian dan tampil membuat laporan polis.
“Difahamkan, semua bayaran tersebut adalah daripada wang simpanan mangsa sendiri. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” tambah Raiz Mukhliz.
Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran kerja sambilan di media sosial dan sentiasa membuat semakan di laman rasmi https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






