Warga emas rugi lebih RM1.17 juta ditipu ‘cinta siber’
PETALING JAYA – Seorang warga emas kerugian lebih RM1.17 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan ‘cinta siber’ yang menjanjikan pemulangan wang dalam mata wang dolar Amerika (USD).
Mangsa lelaki berusia 64 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi TikTok sebelum hubungan berlanjutan ke WhatsApp.
Ketua Polis Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai warga asing dengan menggunakan gambar individu lain serta dokumen peribadi yang disunting bagi meyakinkan mangsa.
“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan mendakwa sedang mengendalikan projek cari gali yang telah diluluskan namun berdepan masalah akaun bank disekat atau digodam.
“Suspek seterusnya meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk bayaran pendahuluan dan kos projek, dengan janji akan memulangkan semula wang tersebut dalam mata wang dolar Amerika (USD),” katanya.
Menurut beliau, mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis suspek telah membuat sebanyak 59 transaksi ke sembilan akaun pihak ketiga melibatkan jumlah keseluruhan RM1,173,700.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas berkongsi perkara itu dengan ahli keluarga sebelum tampil membuat laporan polis, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







