JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara rugi hampir RM100,000 terpedaya pelaburan di TikTok

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara awam kerugian hampir RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Assistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 59 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 8.24 malam, semalam.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan satu iklan pelaburan yang dilihat di aplikasi TikTok pada 14 Mei lalu sebelum berhubung dengan individu yang dipercayai anggota sindiket menerusi aplikasi Telegram.

“Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi bagi menyertai pelaburan yang ditawarkan.

“Selepas menyertai pelaburan itu, mangsa dimaklumkan bahawa dia telah memperoleh keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi membolehkan keuntungan tersebut dikeluarkan, mangsa diminta membuat beberapa lagi transaksi ke beberapa akaun bank yang berbeza.

“Mangsa yang percaya dengan arahan diberikan telah melakukan pembayaran berkenaan sebelum menyedari dirinya ditipu.

“Akibat terpedaya dengan helah sindiket, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM97,933 yang merupakan wang simpanan pencennya,” katanya lagi.

Azli berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, terutama yang diiklankan melalui media sosial.

“Lakukan semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa atau institusi kewangan yang berkaitan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button