Meta tidak serius tangani isu media sosial, TikTok beri kerjasama baik – Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegur gergasi media sosial, Meta dan X kerana tidak mengambil langkah sewajarnya dalam menangani isu buli siber, penipuan dalam talian dan kandungan berbahaya termasuk berkaitan bunuh diri.
Menurut Fahmi, setakat ini hanya platform TikTok menunjukkan komitmen dengan menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) secara sukarela, berbeza dengan platform-platform lain yang masih enggan terlibat.
“Kita tidak boleh biarkan platform-platform ini lepas tangan terhadap kandungan yang boleh mendatangkan mudarat, terutamanya melibatkan isu serius seperti bunuh diri,” katanya semasa melancarkan Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri oleh CMCF, di sini hari ini.

Tambah beliau, meskipun CMCF telah diminta untuk berunding dengan Meta, X dan pemain utama lain, tiada satu pun yang tampil untuk bekerjasama.
Sebaliknya, TikTok telah mengambil inisiatif tersebut sejak awal, bahkan sebelum pelaksanaan rejim pelesenan untuk platform media sosial dan sistem pemesejan dalam talian dimulakan.
“Saya amat menghargai pendekatan TikTok yang secara sukarela menjadi ahli Forum Kandungan,” katanya sambil menyifatkan sikap Meta dan X sebagai “amat tidak memuaskan”.
“Facebook, contohnya kata mereka akan memohon lesen. Tetapi mereka harus faham bahawa Forum Kandungan bukan dikendalikan kerajaan. Ia dikendalikan industri. Ini sepatutnya kepentingan mereka juga untuk turut serta membentuk amalan terbaik dan kod etika,” katanya memetik laporan NST.
Statistik terkini menunjukkan rakyat Malaysia kerugian sebanyak RM53.88 bilion akibat penipuan dalam talian pada tahun 2024 – kira-kira 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dari 2021 hingga April 2024, lebih 95,800 mangsa terlibat dengan kerugian melebihi AS$708 juta (RM3.18 bilion), menurut Laporan Keadaan Penipuan 2024.
Dalam pada itu, kadar bunuh diri juga menunjukkan peningkatan ketara, dengan 1,068 kes dicatatkan pada 2022 – meningkat 66.6% berbanding 641 kes pada tahun 2020.
Selangor pula mencatat jumlah tertinggi (305), diikuti Kuala Lumpur (135), Johor dan Pulau Pinang (masing-masing 123).
Fahmi turut menyeru media vernakular agar memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha pencegahan bunuh diri, termasuk memastikan bahan-bahan kesihatan mental tersedia dalam semua bahasa utama.
“Banyak kandungan kini hanya dalam bahasa Inggeris. Kita perlu pastikan usaha ini sampai kepada semua rakyat tanpa mengira latar bahasa,” ujarnya.
Beliau juga menggesa wartawan mematuhi garis panduan CMCF ketika melaporkan berita berkaitan bunuh diri, dengan menitikberatkan kerahsiaan identiti mangsa dan menjaga privasi keluarga mereka untuk mengelakkan kesan domino atau kejadian tiruan.
“Melaporkan berita bunuh diri merupakan tugas paling sensitif dan menyedihkan bagi mana-mana wartawan. Jangan dedahkan lokasi atau identiti mangsa dalam tragedi seperti ini,” pesannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








