Doktor rugi RM270,000 terpedaya pelaburan saham tidak wujud
JOHOR BAHRU – Seorang doktor pediatrik sebuah hospital kerajaan di sini kerugian RM270,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham atas talian yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.
Beliau berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan pelaburan saham dengan pulangan tinggi sebelum dipujuk memuat turun aplikasi dikenali sebagai “WLS”.
“Mangsa kemudian diarahkan suspek untuk membuat beberapa pemindahan wang ke akaun berbeza bagi tujuan pelaburan itu. Dalam tempoh antara 21 Oktober hingga 1 Disember 2025, mangsa telah melakukan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata, apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, suspek meminta bayaran tambahan atas alasan ‘caj penutupan’. Mangsa kemudiannya mula curiga dan menyedari dirinya diperdaya sebelum membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati akaun bank yang digunakan mempunyai rekod penipuan dan dipercayai berkait dengan sindiket penipuan pelaburan atas talian. Polis sedang giat mengesan suspek termasuk melalui semakan akaun bank dan rekod telekomunikasi,” tambah beliau.
Menurut Raub, sindiket penipuan kini semakin licik dan menyasar semua golongan termasuk profesional. Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan membuat semakan melalui portal Semak Mule bagi mengelakkan kerugian.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sekiranya mengesyaki diri menjadi mangsa penipuan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







