Kunjungan PM ke tiga negara di benua Asia Tengah jana potensi pelaburan, perdagangan lebih RM2.1 bilion
KUALA LUMPUR – Kunjungan Perdana Menteri ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan berjaya menjana potensi pelaburan dan perdagangan sekurang-kurangnya berjumlah lebih RM2.1 bilion yang bakal memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi ini yang telah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah,” kata Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan di Facebook malam semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan telah menamatkan kunjungan di Uzbekistan juga menutup tirai lawatan rasmi beliau ke tiga negara Asia Tengah, bermula di Kyrgyzstan pada Selasa, disusuli Kazakhstan pada Khamis lalu.
“Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Uzbekistan telah berjaya mengangkat hubungan dua hala, pelaburan, perdagangan serta kerjasama Malaysia-Uzbekistan ke tahap lebih tinggi, dengan potensi eksport sekurang-kurangnya RM710 juta telah termeterai,” katanya.
Tambah Anwar, beliau sempat makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri Pertama Uzbekistan, Achilbay Jumaniazovich Ramatov dan pimpinan lain tidak jauh dari Kompleks Kalon Minaret sebelum berlepas pulang ke tanah air.

“Sebelum berangkat ke lapangan terbang, pimpinan Kerajaan Uzbekistan menghadiahkan sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara dikenali sebagai Chapan Bukhara.
“Achilbay dan Penasihat Kepada Presiden Uzbekistan, Muzaffar Komilov kemudian mengiringi saya dan delegasi Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bukhara.
Selain itu, Perdana Menteri turut menzahrikan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang beliau dan delegasi Malaysia berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu.
“Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat.
“Saya juga amat menghargai hubungan persahabatan yang telah terjalin dengan Presiden Shavkat. Terima kasih atas keikhlasan yang dihulurkan sepanjang pertemuan dan perbincangan kami,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








