RENCANA

Lawatan PMX ke UK, UAE: Semai hubungan ekonomi, kukuh geopolitik

LAWATAN kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke United Kingdom (UK) dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini dilihat berjaya mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Malah, ia juga membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara Kuala Lumpur dan London yang telah terjalin sejak era kemerdekaan lagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya, Sir Keir Starmer di London, United Kingdom.

Pakar ekonomi merangkap Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Dr. Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan lawatan tersebut sebagai langkah positif dalam konteks persekitaran geopolitik dunia yang semakin kompleks.

“Lawatan ini penting untuk memastikan Malaysia terus hadir di arena antarabangsa bagi memelihara kepentingan ekonominya.

“UK merupakan rakan dagang tradisional negara dengan sejarah hubungan dua hala yang lama, manakala UAE juga telah membina asas hubungan ekonomi yang kukuh dengan Malaysia.

“Justeru, lawatan PM ke negara seperti UK dan UAE bukan hanya memperkukuhkan hubungan dua hala, tetapi turut membuka peluang untuk pelaburan dua hala yang saling menguntungkan,” jelas beliau kepada Malaysia Tribune.

Dr. Nungsari

Tambah beliau, lawatan PMX ke Brussels, ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) pula, merupakan langkah strategik kerana EU merupakan salah satu blok ekonomi terbesar dan paling berpengaruh di dunia.

“Secara keseluruhan, lawatan kerja ini menyediakan ruang untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia serta memberi peluang kepada pelabur Malaysia untuk meneroka pasaran antarabangsa.

“Ini semua adalah perkara yang baik untuk kesejahteraan ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam konteks hubungan dengan UK, penyertaan negara itu dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) menawarkan peluang baharu bagi perdagangan dan pelaburan.

Lawatan ini menjadi platform penting untuk membincangkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua negara.

Selain hubungan dua hala, Dr. Nungsari turut menggariskan kepentingan lawatan PMX dalam konteks hubungan ASEAN dengan negara-negara seperti UK dan EU.

“Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini. Jadi lawatan tersebut bukan sahaja tentang hubungan Malaysia dengan negara-negara berkenaan, tetapi juga mengenai perhubungan dua hala ASEAN-UK dan ASEAN-EU,” katanya.

Sebagai blok serantau yang semakin relevan dalam perdagangan global, ASEAN memainkan peranan penting dalam membentuk hubungan strategik dengan kuasa ekonomi lain.

Lantaran itu, lawatan tersebut mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuhkan kedudukan ASEAN dalam kerjasama serantau dan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Timbalan Presiden UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum di Istana Za’abeel, Dubai ketika melakukan lawatan kerja ke negara itu. 

Dalam erti kata lain, lawatan kerja PMX ke UK, UAE dan Brussels bukan sekadar pertemuan diplomatik, tetapi satu langkah strategik untuk memastikan Malaysia terus relevan dalam geopolitik dan ekonomi global.

“Dengan membuka peluang pelaburan dan memperkukuhkan hubungan antarabangsa, lawatan ini membawa potensi besar untuk memajukan kesejahteraan ekonomi negara dan memperkukuh hubungan ASEAN dengan rakan dagang utama.

“Memasuki dunia yang semakin mencabar ini, kehadiran Malaysia di pentas antarabangsa adalah penting untuk memastikan kepentingan ekonomi negara terus terpelihara,” kata Dr. Nungsari mengakhiri pandangannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button