BERITA SEMASA

Polis sahkan remaja perempuan hilang di Kota Kinabalu selamat

KOTA KINABALU Pelajar perempuan Tingkatan Satu yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui dalam keadaan selamat di hadapan rumah rakannya di Inanam, petang tadi selepas dilaporkan hilang.

Remaja berusia 12 tahun itu, Gwynne Mia Erbin, ditemui bersendirian kira-kira pukul 3 petang sebelum dibawa pulang oleh ibunya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil keterangan awal, mangsa memaklumkan bahawa dia telah mengikut seorang rakan sejak hari sebelumnya.

“Mangsa kemudian dibawa oleh ibunya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan membuat laporan susulan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Sebarang maklumat berkaitan kes hendaklah dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi saluran rasmi.

“PDRM juga merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat serta membantu menyebarkan hebahan orang hilang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan remaja berkenaan dipercayai hilang selepas tidak hadir ke sekolah sebaik dihantar oleh keluarganya ke sebuah sekolah di Likas pada pagi Isnin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button