BERITA SEMASADALAM NEGERI

Wanita warga emas Malaysia hilang di Acheh sudah pulang ke Malaysia

PETALING JAYA – Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan seorang wanita warga emas rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika banjir besar di Aceh, berada dalam keadaan selamat dan telah pulang ke tanah air semalam, menurut makluman keluarganya.

Wanita berusia 64 tahun itu sebelum ini gagal dihubungi bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang hilang selepas kejadian tanah runtuh di Padang Panjang pada 27 November.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejak Asrul Nizam kini memasuki hari ke-15.

Wisma Putra memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia terus memberikan bantuan konsular kepada keluarga mangsa serta berhubung rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.

“Usaha pencarian masih diteruskan… pihak Konsulat Jeneral berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, tiada laporan baharu mengenai rakyat Malaysia lain yang terjejas susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Sumatera sejak 27 November.

Kementerian menjelaskan akses ke beberapa kawasan yang sebelum ini terputus kini bertambah baik, membolehkan pasukan SAR sampai ke lebih banyak lokasi selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan.

Keadaan banjir di beberapa wilayah turut menunjukkan pemulihan awal.

Namun, beberapa kawasan pedalaman di Aceh Tamiang, Sumatera Barat dan Tapanuli masih berdepan kekangan akses, bekalan asas serta kelewatan pemulihan perkhidmatan penting.

Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia di kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Mereka yang memerlukan bantuan atau gagal menghubungi ahli keluarga di kawasan terlibat boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam Konsulat Jeneral Malaysia di Medan di +62 823 6164 6046 atau melalui e-mel mwmedan@kln.gov.my
.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button