Kesemua 113 pelarian dipindah ke lokasi baharu – Ketua Polis KL
KUALA LUMPUR – Kesemua 113 pelarian termasuk 110 etnik Rohingya yang sebelum ini ditempatkan sementara di Dataran Wira Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, dipindah ke lokasi lain yang ditetapkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, kumpulan itu dibenarkan bergerak keluar dari IPK ke destinasi baharu kira-kira pukul 4 petang tadi.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi baharu berkenaan.
“Sekitar pukul 4 petang (tadi), kesemua pelarian berjumlah 113 orang telah bergerak keluar dari IPK Kuala Lumpur menuju ke destinasi yang telah ditetapkan oleh pihak NGO Kaladan dari Ampang, Selangor.
“Kumpulan itu terdiri daripada pelarian paling tua berusia 60 tahun dan paling muda adalah bayi berumur satu bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di IPK Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen yang sah dikeluarkan oleh UNHCR.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada pukul 8.50 malam, malam semalam.
Jumlah itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada salah seorang pelarian Rohingya.
Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















