Lelaki Rohingya didakwa bunuh rakan senegara, cederakan isteri mangsa
NIBONG TEBAL – Seorang lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki senegaranya serta mencederakan isteri mangsa dalam kejadian di Taman Belibis, Simpang Ampat, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Osman Bawdi Alom, 38, hanya mengangguk tanda faham selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama, Osman didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, yang juga warga Rohingya dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) bernombor 354-00172227.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di No. 1, Lorong Belibis 14, Taman Belibis, Seberang Perai Selatan antara pukul 2.50 petang hingga 2.54 petang pada 31 Mei lalu, memetik laporan Sinar Harian hari ini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Selain itu, Osman turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita Rohingya yang juga isteri kepada mangsa.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencederakan Formin Lal Mia menggunakan sebilah pisau dalam kejadian pada masa dan lokasi yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pihak pendakwa raya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















