BERITA SEMASA

Malaysia berdepan cuaca panas, risiko jerebu hingga April 2027

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka berdepan cuaca lebih panas dan kering dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dengan risiko jerebu serta kebakaran hutan dan tanah gambut meningkat susulan fenomena El Nino yang semakin menguat.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fenomena itu dijangka mula mempengaruhi corak cuaca negara dan berterusan sehingga Mac atau April 2027.

Menurut beliau, El Nino berpotensi menyebabkan taburan hujan berkurangan di beberapa kawasan, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan bekalan air sekiranya keadaan kering berterusan.

“Keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu sekiranya keadaan kering berterusan.

“Fenomena El Nino dijangka mula mempengaruhi cuaca negara dan mungkin berterusan sehingga Mac 2027,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keadaan lebih membimbangkan apabila pengurangan hujan dijangka berlaku di Sabah dan sebahagian Semenanjung Malaysia pada awal tahun depan, manakala suhu maksimum harian dijangka meningkat terutama pada Mac dan April.

Keadaan panas dan kering yang berpanjangan berpotensi meningkatkan kejadian kebakaran terbuka, kebakaran hutan serta tanah gambut yang seterusnya boleh menyumbang kepada pembentukan jerebu.

MET Malaysia sebelum ini turut mengingatkan bahawa cuaca panas dan kering susulan El Nino boleh meningkatkan risiko kekurangan sumber air, kebakaran hutan serta jerebu rentas sempadan.

Menurut Mohd Hisham, El Nino lazimnya menyebabkan keadaan lebih kering daripada biasa di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, akibat perubahan corak atmosfera dan taburan hujan.

Bagi Malaysia, katanya, El Nino sederhana atau kuat boleh menyebabkan taburan hujan di Sabah dan Sarawak berada di bawah paras purata, manakala Semenanjung turut terdedah kepada keadaan lebih kering pada tempoh tertentu.

“Keadaan kering yang berpanjangan juga boleh meningkatkan keperluan penggunaan air ketika suhu meningkat, khususnya dalam sektor domestik, pertanian dan kegiatan ekonomi yang bergantung kepada sumber air,” jelasnya.

Sehubungan itu, MET Malaysia memperkukuh pemantauan dan penyampaian maklumat cuaca, termasuk menyediakan ramalan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut sehingga tujuh hari serta ramalan jerebu bagi membantu kesiapsiagaan agensi berkaitan.

Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering bagi mengurangkan risiko kebakaran serta jerebu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button