JENAYAH & MAHKAMAH

Suspek bunuh remaja Rohingya dakwa terima ‘arahan Tuhan’

KOTA BHARU – Polis percaya suspek utama kes pembunuhan seorang remaja lelaki etnik Rohingya di Taman Desa Kujid, di sini, Jumaat lalu, bertindak selepas mendakwa menerima ‘arahan Tuhan’ kira-kira sebulan sebelum kejadian.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata, perkara itu diperoleh berdasarkan keterangan yang direkodkan daripada suspek berusia 31 tahun yang ditahan di sebuah rumah sewa di Pasir Mas semalam.

Menurutnya, setakat ini lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan, termasuk empat suspek yang ditahan pada hari kejadian.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek utama yang dipercayai mempunyai masalah mental mendakwa menerima ‘arahan Tuhan’ sebulan sebelum kejadian.

“Suspek mungkin mengalami halusinasi dan dia juga bekerja di lokasi yang sama dengan mangsa,” memetik HM online.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang pergaduhan atau pergelutan berlaku sebelum kejadian.

Sebaliknya, mangsa yang sedang berehat didatangi suspek sebelum ditetak secara tiba-tiba.

“Ketika kejadian, mangsa sedang lepak sebelum didatangi suspek yang terus menetaknya,” katanya lagi.

Mohd Yusuff berkata, polis turut menyiasat kesahihan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik suspek yang ditahan selepas mendapati terdapat keraguan pada dokumen berkenaan.

“Ini kerana tiga kad UNHCR yang dimiliki mereka mempunyai tarikh lahir yang sama tetapi tahun berbeza. Perkara ini akan disiasat secara terperinci,” katanya lagi.

Sebelum itu, media melaporkan seorang lelaki pelarian Myanmar berusia 18 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh, awal pagi Jumaat lalu.

Mangsa yang mengalami luka hiris dan tetak pada bahagian leher disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialami.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button