JENAYAH & MAHKAMAH

7 lelaki didakwa bunuh pemuda di depan kedai makan

PONTIAN – Tujuh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, dua minggu lalu.

Tertuduh, Puvaman Loganathan, 22; Jovan Lee Jun Yang, 19; To Zheng Kang, 22; Chan Jia Yi, 19; Lee Ming Chen, 20; Lee Long Teck, 18, dan Pang Jun Jie, 28, didakwa bersama-sama melakukan pembunuhan terhadap Arun Kumar Rajagopal, 22.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurhaliza Haron, namun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama lima lagi individu yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian mangsa di hadapan Kedai Makan Hee Yuan, Jalan Utama 3, Taman Utama, Pekan Nanas kira-kira pukul 2.45 pagi pada 21 Mei lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Bagi pesalah yang tidak dijatuhi hukuman mati, mereka turut berdepan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Sahira Rosli.

Tertuduh pertama hingga kelima diwakili peguam Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee, manakala tertuduh keenam dan ketujuh masing-masing diwakili DS Evensia Mary serta Datin Freda Sabaparthy.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button