JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja perempuan maut, tiga cedera dalam nahas di Lojing

GUA MUSANG – Perjalanan pulang empat remaja berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di Tanah Tinggi Lojing, di sini hari ini.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nur Danisha Dania Mazlan, 17, dari Kampung Telok, Bachok.

Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala seorang lagi remaja perempuan serta dua remaja lelaki dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Razak Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada pukul 3.40 petang sebelum sebuah jentera bersama anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 87 kilometer dari balai bomba.

Menurut beliau, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 5.01 petang dan mendapati sebuah Perodua Kelisa yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang menuju ke Gua Musang telah terbabas lalu merempuh penghadang jalan.

“Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayat remaja itu diserahkan kepada pihak polis pada pukul 5.05 petang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button