Tujuh maut helikopter pemadam kebakaran terhempas di Argentina
BUENOS AIRES – Tujuh anggota pasukan kecemasan maut selepas helikopter yang dinaiki mereka semasa operasi memadam kebakaran hutan terhempas di Wilayah San Juan, barat Argentina, semalam.
Helikopter jenis Bell 412 itu dilaporkan sedang dalam penerbangan menuju ke wilayah berhampiran, La Rioja, bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan yang masih berterusan sebelum terhempas di kawasan Taman Wilayah Ischigualasto.
Gabenor San Juan, Marcelo Orrego mengesahkan kesemua tujuh individu yang berada di dalam pesawat terbunuh dalam nahas tersebut.
“Mangsa terdiri daripada anggota bomba, pegawai polis, kakitangan perlindungan awam, juruterbang dan anggota Agensi Kecemasan Persekutuan (AFE) yang ditugaskan menyokong operasi memadam kebakaran,” katanya dalam X.
Orrego menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar kepada pasukan keselamatan dan perkhidmatan kecemasan negara.
Sebagai tanda penghormatan kepada mangsa, kerajaan wilayah San Juan mengisytiharkan tempoh berkabung rasmi selama tiga hari dengan semua acara rasmi dibatalkan, manakala bendera dikibarkan separuh tiang.
Setakat ini, punca nahas masih belum dikenal pasti walaupun keadaan cuaca ketika kejadian dilaporkan baik.
Pihak berkuasa penerbangan telah membuka siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar helikopter berkenaan terhempas.
Operasi mengeluarkan mayat mangsa turut berdepan kesukaran berikutan lokasi nahas yang terpencil dan berbukit di kawasan semula jadi Ischigualasto.
Helikopter itu dijadualkan menyertai operasi memadam kebakaran hutan yang telah melanda beberapa kawasan di Argentina sejak beberapa hari lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















