BERITA SEMASA

Aaron gesa siasatan kontroversi jenaka paderi, biarawati pada PAU 2026

PUTRAJAYA – Kontroversi ucapan yang menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026 perlu diteliti kementerian serta agensi penguatkuasaan berkaitan, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, siasatan sewajarnya perlu dijalankan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan [Akta 574] serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Menurutnya, apa juga niat di sebalik sesuatu analogi, jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan mana-mana penganut tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dianggap remeh.

“Agama bukan bahan jenaka. Perkara yang mempunyai nilai suci dan dihormati oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda, dijadikan bahan gurauan berunsur seksual atau digunakan semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan sedemikian boleh menyinggung perasaan penganut agama selain berpotensi menjejaskan keharmonian yang telah dibina dalam masyarakat berbilang agama dan budaya di negara ini.

Aaron menegaskan, kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak bermaksud seseorang bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan pihak lain.

Katanya, prinsip berkenaan perlu terpakai kepada semua tanpa mengira agama, kaum, kedudukan mahupun fahaman politik.

Dalam pada itu, Aaron berkata, beliau mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf dan berharap kontroversi berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pemimpin, penceramah serta masyarakat agar lebih berhati-hati memilih kata-kata, khususnya apabila menyentuh soal agama dan kepercayaan.

Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, Kesopanan dan Kesusilaan, yang menuntut setiap rakyat menjaga adab, tutur kata serta tingkah laku dalam kehidupan bermasyarakat.

“Dalam negara yang berbilang agama dan budaya, prinsip ini bukan sekadar ungkapan, tetapi asas penting untuk memastikan perbezaan dihormati, sensitiviti dipelihara dan keharmonian terus dipertahankan,” katanya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button