BERITA SEMASAKERAJAAN PERPADUAN

Insiden Jalur Gemilang terbalik harus jadi pengajaran – Aaron

KUALA LUMPUR – Insiden Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di Pulau Pinang baru-baru ini harus dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau menganggap kejadian itu sebagai kes terpencil, namun menegaskan tindakan perlu diambil agar ia tidak berulang pada masa hadapan, terutama ketika sambutan bulan kemerdekaan.

“Perlu juga kita melihat mengapa ia berlaku. Di bulan kemerdekaan, semua orang mahu mengibarkan bendera tetapi ada yang kurang faham kedudukan bahagian atas dan bawah.

“Kita kesal perkara ini berlaku dan ia seharusnya menjadi pengajaran untuk memahami cara yang betul menaikkan bendera.

“Apa pun, biarlah pihak berkuasa meneliti perkara ini. Rakyat jangan takut mengibarkan bendera, namun pastikan ia dilakukan dengan betul,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Harmoni Mesra 2025 di UCSI University, hari ini.

Dalam ucapan perasmian, Aaron turut menggesa rakyat menjadikan konsep “Harmoni Dalam Kepelbagaian” sebagai amalan harian dan bukan sekadar slogan, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan perpaduan.

Menurutnya, Malaysia yang memiliki lebih 250 kumpulan etnik dengan kepelbagaian agama, bahasa dan budaya, harus melihat perbezaan sebagai kekuatan yang menyatukan, bukannya titik perpecahan.

Beliau turut menyenaraikan lima kepentingan utama tema itu iaitu memupuk perpaduan nasional, menghargai kepelbagaian budaya, meningkatkan hormat-menghormati, mencegah konflik dan diskriminasi serta membina identiti kebangsaan.

Kementerian Perpaduan Negara katanya, telah melaksanakan Inisiatif Harmoni MADANI yang merangkumi program seperti Minggu Keharmonian Sedunia, Dialog Harmoni, Perarakan Harmoni, Projek Sosial Kolaboratif serta penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan.

“Inisiatif ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menyentuh akar budaya, persepsi sosial dan tingkah laku masyarakat melalui pendekatan menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Majlis yang berlangsung di Auditorium Blok G, UCSI University itu dihadiri warga universiti, wakil agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan pemimpin pelbagai latar belakang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button